Thursday, 14 March 2013

MAHKUM FIH


PENGHARGAAN
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah S.W.T tuhan sekalian alam yang telah berfirman dalam kitab-Nya yang nyata yang bermaksud :
“Maka hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan antara mereka, beberapa orang untuk mendalami ilmu agama”.
Selawat dan salam ke atas penghulu kita Nabi Muhammad S.A.W Rasul yang bersifat amanah, ketua golongan masyhur lagi mempunyai keberkatannya. Selawat dan salam juga ke atas keluarga Baginda yang suci bersih, dan para sahabatnya yang telah berperanan menyebarkan agama ini, dengan mengemukakan hujah serta dalil yang terang dan nyata.
Bersyukur juga kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah dan rahmat-Nya dapat juga kami menyiapkan tugasan kerja yang diberi dengan jayanya. Kami menjulang sepenuh penghargaan dan terima kasih kepada Encik Suhaimi bin Abu Hasan, pensyarah maddah Mabahith Hukum (SYR 3073) kerana di atas kesudian beliau memberi tugasan ini kepada kami.beliau juga benyak membantu kami sepanjang proses pembentukan tugasan ini berlaku.
Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu kami secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang merialisasikan tugasan ini.Kepada ahli kumpulan yang bertungkus lumus sehingga siapnya tugasan yang diberikan ini. Semoga selepas ini kita dapat bekerjasama dan akan langkah lebih jauh lagi.
Dan lahirnya tugasan ini adalah atas sokongan anda semua.Tiada kata-kata yang mampu kami ungkapkan, hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi baik kalian semua.InsyaAllah.

PENDAHULUAN
Mahkum fih merupakan perkara yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf iaitu yang berkaitan dengan hukum syara’ seperti dalam hukum taklifi iaitu perbuatan yang berkaitan dengan tahrim maka perbuatan itu dinamakan haram atau bentuk-bentuk dalam hukum wad’iy.Mahkum fih juga turut dinamakan sebagai mahkum bih kerana perbuatan mukallaf yang disifatkan dengan suruhan dan larangan.

Dalam erti kata lain ia adalah objek perbuatan serta tindakan-tindakan yang terkait dengan aturan-aturan hukum, seperti yang termaktub dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud “dan dirikanlah solat”. Perintah dalam ayat ini merupakan tentang kewajipan bagi seorang mukallaf untuk mendirikan solat. Dan dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang membawa maksud “ hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermua’malah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis diantara kamu menulis dengan benar”.Dalam ayat ini juga berkaitan dengan perbuatan seorang mukallaf, iaitu menulis hutang piutang, maka hukumnya sunat.

Selain itu, disebut dalam surah al-An’am ayat 151 yang bermaksud “dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar”.Dengan beberapa contoh ayat al-Quran yang disebutkan ini, menurut ulamausul fiqh menetapkan kaedah tiada taklif atau pembebanan hukum, melainkan terhadap perbuatan.




PENGERTIAN
Untuk menyebut istilah hukum atau objek hukum sebahagian Ulama’ usul menggunakan istilah mahkum fih, kerana di dalam perbuatan atau peristiwa itu adalah hukum.Sama ada hukum wajib ataupun hukum haram.[1]Dalam kajian usul fiqh, yang dimaksudkan mahkum fihadalah suatu perbuatan mukallaf yang mana ia berkait dengan hukum syara’ seperti dalam hukum taklifiiaitu perbuatan yang berkaitan dengan tahrim, maka perbuatan itu dinamakan perbuatan haram atau dalam bentuk-bentuk hukum wad’iy. Mahkum fih juga dinamakan sebagai mahkum bih kerana perbuatan mukallaf yang disifatkan dengan suruhan dan larangan. Dalam erti kata lain ia adalah objek perbuatan serta tindakan-tindakan yang terkait dengan aturan-aturan hukum.[2]

SYARAT-SYARAT MAHKUM FIH
Para ulama’ usul fiqh mengemukakan beberapa syarat sahnya suatu taklifi (pembebanan hukum) iaitu :
Pertama :Perbuatan yang dibebankan diketahui secara sempurna dan terperinci oleh mukallaf  sehingga ia mampu melakukan secara lengkap sesuai dengan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepadanya. Atas dasar ini, perintah yang masih bersifat mujmal (menyeluruh) dalam al-Quran baru dibebakan dan diwajibkan kepada mukallafsetelah ada penjelasan secara terperinci dari Nabi Muhammad S.A.W seperti dalam firman Allah S.W.T[3]
وأقموا الصلاة [4]
Maksudnya : “dirikanlah solat”
Nash al-Quran ini bersifatkanmujmal(menyeluruh) belum dijelaskan tentang rukun, syarat dan cara pelaksanaannya. Bagaimana seorang mukallafdituntut melakukan solat sedangkan ia tidak tahu bagaimana cara melaksanakannya. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W menjelaskan keseluruhannya nashitu dengan sabda beliau :
صلوا كما رايتموني أصل [5]
Maksudnya : “solatlah kamu sebagaimana kamu melihatku melaksanakan solat”

Ke-dua :Mukallaf mengetahui secara pasti bahawa takliftersebut datang dari pihak yang benar membuat taklif dan pihak yang diyakini, mukallaf wajib untuk diikuti hukumnya. Dalam hal ini, pihak yang benar memberikan taklif adalah Allah S.W.T dan rasul-Nya.Dengan pengetahuan ini mendorong mukallaf untuk mematuhi dan mentaati perintah Allah S.W.T dan rasul-Nya.
Adapun yang dimaksudkan para ahli usul fiqh dengan pengetahuan mukallaf tentang sumber taklifi adalah kemungkinan mukallaf untuk mengetahuinya. Pengetahuan ini dapat diperoleh melalui kemampuannya memahami taklif dari al-Quran dan as-Sunnah atau ia bertanya kepada orang yang lebih tahu darinya (ulama’) .

Ke-tiga : Perbuatan yang diperintahkan atau dilarang merupakan perbuatan yang mampu melakukan dan ditinggalkan mukallaf. Sehubungan dengan syarat taklif ketiga, ada tiga permasalahan penting iaitu :
I.        Tidak sah secara syara’taklif  terhadap suatu yang mustahil menurut pandangan jumhur, seperti melihat zatnya sendiri atau melihat selain itu baik mustahil lizatihiiaitu sesuatu yang tidak tergambar oleh akal tentang adanya, seperti mengumpulkan dua hal sekaligus[6]. Untuk itu, mustahil secara akal adanya keharusan melakukan sesuatu perintah dan larangan pada waktu yang sama bagi seorang mukallaf. Dan mustahil li ghairihi iaitu suatu yang tergambar dalam akal tentang adanya, tetapi secara realiti mustahil dilakukan manusia, seperti perintah untuk terbang di udara bagi mukallaf tanpa menggunakan pesawat terbang atau alat pembantu.

Menurut jumhur ulama’ ketidaksahan taklif  terhadapnya sesuatu yang mustahil didasarkan pada dua alasan :
1)    Banyak ayat al-Quran yang isinya menjelaskan bahawa Allah tidak memberikan suatu taklif kecuali dengan kemampuan manusia. Salah satu ayat yang mana Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 :
لا يكلف الله نفسا إلا وسعها [7]
Maksudnya : “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.

2)    Apabila sah taklif dengan sesuatu perbuatan yang mustahil, tentu mukallaf dituntut mewujudkan taklif  tersebut. Hal ini tidak dapat diterima kerana mustahil untuk melaksanakannya.[8]

II.        Tidak sah secara syara’ memberikan taklif kepada mukallaf untuk melakukan atau menghentikan suatu perbuatan atas nama orang lain kerana hal tersebut mustahil bagi dirinya. Oleh sebab itu, seorang mukallaf  tidak dibebani kewajipan solat buat orang tuannya, membayar zakat atas nama saudaranya dan menahan dirinya atas nama tetangga untuk mencuri.

III.        Tidak sah pembebanan dengan masalah-masalah yang bersangkutan dengan sifat-sifat yang tidak daya dan usaha manusia dalam mengadakannya. Seperti sikap marah, benci, takut, gembira dan kasih sayang, cinta, gairah, makan dan minum. Perbuatan-perbuatan seperi ini, menurut ulama’ usul fiqh bukan atas ikhtiar dan kehendak manusia. Oleh sebab itu, tidak ada taklif bagi perbuatan seperti itu.[9]


PENGERTIAN MUSYAQQAH MU’TADDAH DAN GHAIR MU’TADDAH
Dari syarat ketiga di atas, iaitu perbuatan taklif itu tidak ada kemungkinan dikerjakan atau ditinggalkan mukallaf.Muncul persoalan lain dikemukakan para ulama’ usul fiqh iaitu masalah musyaqqah (kesulitan) dalam taklif.Apakah boleh ditetapkan taklif terhadap amalan yang mengandungi musyaqqah?. Dalam hal ini para ulama’ usul fiqh telah membahagikan musyaqqah kepada dua bentuk iaitu :
      I.        Musyaqqah mu’taddah (kesulitan biasa dan dapat diduga)
    II.        Musyaqqah ghair mu’taddah (kesulitan luar biar dan sukar diduga)

Pertama :Musyaqqah mu’taddah(المشقه المعتدة)
Kesulitan yang boleh diatasi oleh manusia tanpa membawa kemudaratan baginya.Musyaqqah seperti ini tidak dihalangkan oleh syara’ dari manusia dan hal ini boleh terjadi kerana seluruh perbuatan (amalan) dalam kehidupan ini tidak terlepas dari kesulitan tersebut.Misalnya mengerjakan solat itu boleh melemahkan badan.Kesulitan seperti ini, menurut para ahli fiqh, berfungsi sebagai ujian terhadap kepatuhan dan ketaatan seseorang hamba dalam menjalankan taklif syara’.Dengan demikian, musyaqqah seperti ini tidak boleh menghalangi seseorang untuk melaksanakan taklif syara’.

Ke-dua : Musyaqqah ghair mu’taddah(المشقه غير المعتدة)
Suatu kesulitan yang biasanya tidak mampu diatasi oleh manusia, kerana boleh mengancam jiwa, mengacau sistem kehidupan manusia, baik secara peribadi mahupun masyarakat, serta pada umumnya kesulitan seperti ini dapat menghalangi perbuatan yang bermanfaat.Kesulitan seperti ini pun, menurut ulama’ usul fiqh secara logiknya dapat diterima sekalipun dalam kenyataannya tidak pernah terjadi, kerana Allah sendiri tidak bertujuan menurunkan taklif-Nya untuk berpuasa siang dan malam.[10]

BAHAGIAN USUL FIQH
Para ulama’ telah membahagikan usul fiqh kepada dua bahagianiaitu :
Pertama : Meterial dan syara’
Perbuatan dari segi material akan tetapi tidak termasuk perbuatan yang terkait dengan syara’seperti makan dan minum.Perbuatan dari segi material ada dan menjadi sebab adanya hukum syara’, seperti penzinaan, pencurian dan pembunuhan.Pebuatan ini menyebabkan adanya hukum syara’ iaitu hudud dan qisas.Perbuatan material ini akan ada dan bernilai dalam syara’ apabila memenuhi rukun dan syarat yang ditentukan seperti solat dan zakat. Perbuatan material ini juga diakui oleh syara’ kerana adanya hukum syara’ yang lain seperti nikah, jual-beli dan sewa menyewa.

Ke-dua : Hak yang terdapat dalam perbuatan mukallaf .
Hak ialah semata-mata hak Allah iaitu segala yang berkaitan dengan kemaslahatan umum tanpa terkecuali.Menurut ulama’ usul fiqh hak dan sifat yang hanya untuk Allah adalah perbuatan mahdhah (murni) seperti iman dan rukun Islam. Perbuatan yang mengandungi makna bantuan seperti zakat fitrah kerana adanya niat zakat fitrah dan ia merupakan perbuatan wajib bagi setiap mukallaf. Hukuman juga tergolong dalam hak ini iaitu hukuman yang membawa maksud perbuatan ianya seperti kafarah sumpah dan kafarah dhihar.Ada juga hak yang harus dibayar seperti kewajipan mengeluarkan 1/5 dari harta rampasan perang untuk dizakatkan.Manakala hak hamba barkaitan dengan kepentingan peribadi seseorang seperti mengganti harta seseorang apabila merosakkannya. Hubungan antara hak Allah dengan hak hamba, hak Allah lebih dominan seperti hukum qadzaf(menuduh orang lain berbuat zina). Hak hamba pula seperti hukuman qisas.[11]

Bahagian-bahagian hak perbuatan manusia menurut ulama’ Hanafi
Perbuatan-perbuatan yang ditaklifkan ke atas mukallaf terbahagi kepada empat iaitu :

Pertama : Hak Allah S.W.T semata-mata
Hak perbuatan manusia dalam kategori ini melibatkan perkara-perkara yang bermatlamat menjaga kemaslahatan masyarakat umum.Pensyariatan perbuatan-perbuatan ini adalahuntuk menjaga hubungan manusia dengan Allah S.W.T dan hubungan manusia sesama manusia.Oleh itu, manusia tidak ada hak untuk menggugurkan atau mengambil ringan untuk melaksanakannya.Contohnya semua perbuatan yang terdapat dalam rukun Islam, hudud dan ibadat-ibadat lain yang boleh memberi manfaat secara menyeluruh.

Ke-dua : Hak hamba / manusia semata-mata
Dalam kategori ini, mukallaf mempunyai hak sepenuhnya demi menjaga kemaslahatan individu.Segala penyelesaian masalah yang berkaitan dalam hak ini perlu diselesaikan sesama individu.Misalnya menggantikan barang yang dirosakkan, memiliki barang dan nilai barang, memegang barang yang digadai dan lain-lain hak individu yang berkaitan dengan harta.[12]

Ke-tiga : Dua-dua hak tapi lebih kepada Allah
Dalam bahagian ini, perbuatan-perbuatan yang ditaklifkan mengandungi dua hak (hak Allah dan hak hamba) tetapi ia lebih kepada hak Allah S.W.T kerana kepentingan hak masyarakat umum itu lebih diutamakan daripada kepentingan hak individu. Contohnya, qazaf iaitu dari sudut ianya mengandungi hak Allah kerana ia untuk menjaga maruah manusia dan kepentingan masyarakat daripada kerosakan. Manakala dari sudut ianya hak manusia dapat dilihat dari aspek bahawa dengan adanya hukuman qazaf dapat mempertahankan maruah dan melindungi mangsa daripada malu.Oleh itu qazaf dapat memelihara maruah individuyang difitnah itu.walaubagaimanapun, memelihara hak individu yang membawa kepada wajidnya dikenakan hukuman ke atas orang yang melakukan qazaf sekalipun dimaafkan oleh individu yang difitnah.

Ke-empat : Dua-dua hak tetapi lebih kepada hak manusia
Hak perbuatan yang ada dalam bahagian ini lebih diutamakan kepada hak individu  kerana ia lebih banyak mendatangkan manfaat kepada manusia. Misalnya qisas ke atas pembunuh yang melakukan pembunuhan dengan sengaja yang mengandungi hak Allah dari sudut ianya memelihara masyarakat daripada berlaku pembunuhan, menjaga keamanan dan mengurangkan jenayah.Manakala dari sudut hak individu dilihat dari aspek ianya boleh digugurkan oleh pihak waris mangsa atau digantikan dengan hukuman diyat atau diberi kemaafan.



Berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 178 :[13]
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم القصاص فى القتلى الحر بالحروالعبد بالعبد والأنثى بالانثى فمن عفى له من أخيه شئ فاتباع بالمعروف وأداء إليه بإحسن[14]
Maksudnya :wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu : orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula)  hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.

Hukum syara’dan bahagian-bahagiannya
Hukum pada istilah ulama’ usul fiqh ialah kitab Allah yang berkaitan dengan perbuatan manusia sama ada secara tuntutan atau diberi pilihan atau dijadikan.
Maksud kitab Allah ialah kalam Allah yang merujuk kepada Allah secara langsung iaiui al-Quran atau secara tidak langsung seperti as-sunnah, al-Ijma’, al-Qias dan dalil-dalil syara’ yang lain. Dalil-dalil ini dikatakan sebagai kalam Allah secara tidak langsung kerana sebenarnya ia tetap merujuk kepada Allah juga seperti al-Sunnah yang jelas lahir daripada Rasulullah di mana ianya bukan didorong oleh hawa nafsu tetapi merupakan wahyu daripada Allah. Begitu juga dengan al-Ijma’, al-Qias dan sebagainya, pada asanya merujuk kepada al-Quran.
Berdasarkan pengertian hukum syara’ ini dapat difahami bahawa sesuatu yang dinamakan sebagai hukum syara’ menurut istilah ulama’ usul fiqh hanyalah kitab Allah pada perkara yang berkaitan dengan perbuatan manusia sahaja.Manakala perkara yang berkaitan dengan selain daripada perbuatan manusia yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah tidak dinamakan sebagai hukum syara’ seperti kitab Allah yang berkaitan dengan zat dan sifat Allah, kisah-kisah penceritaan, hal-hal yang berkaitan dengan sesuatu yang tidak bernyawa dan zat-zat mukallaf. Misalnya firman Allah S.W.T dalam surah al-Ikhlas tentang zat-Nya:[15]
قل هوالله أحد ۝ الله الصمد ۝ لم يلد ولم يولد ۝
ولم يكن له كفوا أحد ۝[16]
Maksudnya :katakanlah “ Dialah Allah Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tida beranak dan tidak pula diperanakan, dan tidak ada seorangpun setara dengan Dia.”

Merujuk kepada pengertian hukum syara’ini juga dapat dilihat bahawa pembahagiannya terbahagi kepada dua iaitu hukum taklifidan hukum wad’I. Hukum taklifiialah segala kitab Allah S.W.T yang menuntut agar manusia melakukan sesuatu perbuatan atau meninggalkannya sama ada secara ketentuannya atau ada kelonggaran serta pilihan yang Allah berikan ke atas manusia sama ada mahu melakukan atau meninggalkan. Ini melibatkan perbincangan tentang hukum ijab (diwajibkan), nadbu (sunat), tahrim (diharamkan), karahah (makhruh) dan ibahah (harus).
Antara contohnya firman Allah S.W.T tentang kewajipan melakukan solat dalam surah al-Nur ayat 56 :
وأقيموا الصلوة[17]
Maksud :Dan hendaklah kamu dirikan solat.
Mankala hukum wadi’y pula merupakan khitob Allah yang mana syara’menjadikan kewujudan sesuatu hukum itu berdasarkan kepada sebab dan syarat serta ketiadaan sesuatu hukum itu berdasarkan kepada kewujudan penghalang. Misalnya Rasulullah bersabda bahawa syarat bagi melaksanakan kewajipan solat ialah berada dalam keadaaan suci (tidak berhadas) di dalam sebuah hadis yang berbunyi :[18]
لا تقبل بغير طهور
Maksudnya : “tidak diterima solat tanpa bersuci”

Perbezaan hukum taklifi dan hukum wad’iy
Perbazaan yang jelas ketara antara hukum taklifi dengan hukum wad’iy dapat ditinjau dari aspek maksud pengertiannya serta syarat kemampuan yang mesti ada pada keduaya ataupun tidak.
  I.        Dari aspek maksud pengertiannya, hukum taklifi adalah untuk menyatakan apakah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T terhadap hambanya misalnya apakah yang Allah S.W.T kehendaki dalam solat? Maka jawapannya : Allah berkehendak tuntut melakukan (wajib) solat agar dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Ini menjelaskan bahawa di dalam hukum taklifi Allah menghendaki manusia agar melakukan atau meninggalkan atau pilihan antara keduanya kerana pada setiap perbuatan itu ada kebaikan dan keburukannya yang berkaitan dengan halal dan haram. Akan tetapi di dalam hukum wad’iybukan konsep bagaimanakah sesuatu hukum itu wujud. Ini dapat dilihat dari sudut hukum wad’iy itu sebagai penerang kepada kewujudan sesuatu hukum dengan adanya sebab serta syarat atau penafian sesuatu hukum dengan adanya penghalang. Contohnya bermulanya kewajipan berpuasa apabila seseorang itu melihat anak bulan Ramadhan seperti mana dalam firman Allah :

فمن شهد منكم الشهر فليصمه[19]
Maksudnya : “oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.”
II.        Adapun perbezaan dari aspek kemampuan, hukum taklifi disyaratkan kemampuan manusia untuk melaksanakan atau meninggalkan kerana ia berkaitan dengan tanggungjawab tetapi pada hukum wad’iy kerana ia tidak menyentuh kepada sebarang tuntutan sebaliknya hanya sebagai satu penjelasan.[20]
Penamaan hukum takilifi ini kepada taklifi adalah disebabkan ianya mengandungi sebuah tanggungjawab atau bebanan ke atas manusia untuk melakukan perintah Allah S.W.T atau meninggalkannya. Adapun konsep pilihan yang ada dalam hukum taklifi adalah sebagai satu tasamuh (bertolak ansur) daripada Allah S.W.T. berdasarkan ketetapan yang ada pada hukum taklif dapatlah dilihat di sina betapa pengasih dan penyayangnya  Allah S.W.T terhadap hambanya.Ia juga menunjukkan ketinggian dan kemuliaan syariat Islam dalam perletakan sesuatu tanggungjawab.
Manakala penamaan hukum wad’iy pula dilihat dari sudut hubungkait antara sesuatu perkara dengan sesuatu perkara yang lain berdasarkan kepada syarat, sebab dan penghalang itu adalah dijadikan atau diletakkan oleh Allah S.W.T sebagai penguasa alam ini.[21]


Pembahagian hukumtaklifi menurut kebanyakan ulama’
Hukum taklifi ialah kitab Allah S.W.T yang menghendaki tuntutan melakukan atau meninggalkan sesuatu atau diberi pilihan di antara keduanya. Oleh itu, hukum taklifi berdasarkan pengertian ini terbahagikan kepada lima :

Pertama :Ijab (wajid)
Wajib ialah perbuatan yang dituntut oleh syara’ untuk melakukannya dengan satu tuntutan yang pasti. Sekiranya perbuatan itu dilakukan, si pelaku akan diberi pahala dan akan disiksa jika ditinggalkannya. Contohnya seperti suruhan melaksanakan solat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, zakat dan lain-lain. Namun terdapat juga istilah lain digunakan bagi menunjukkan kewajipan selain daripada kewajipan selain daripada wajib iaitu fardhu. Untuk mengenali sesuatu perbuatan itu wajib, kitab Allah S.W.T telah menunjukkan kepada beberapa cara dan kaedah antaranya :
I.    Menggunakan lafaz perintah (al-amru)seperti lafaz perintah yang ada dalam suruhan solat.
II.    Adanya pembalasan siksaan sekiranya perbuatan tersebut ditinggalkan seperti mendirikan solat, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan sebagainya daripada perbuatan-perbuatan wajib yang ditetapkan oleh syara’ di mana akan disiksa jika meninggalkannya.[22]

Bahagian-bahagian wajib
Pembahagian wajib adalah seperti berikut :
I.        Wajib dari sudut masa untuk melaksanakannya. Sesuatu perkara itu terbahagi kepada dua jenis sama ada masanya umum atau masanya (mutlak) atau masanya telah ditetapkan (muqayyad). Sekiranya masa untuk melaksanakannya pada bila-bila masa seperti menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhankerana terdapat keuzuran syar’i. Manakala masa yang telah ditetapkan semula seperti solat lima waktu hendaklah ditunaikan pada waktu yang ditetapkan itu. Maka tidak harus melaksanakannya sebelum waktu yang ditetapkan dan berdosa melewatkan selepas pada waktunya tanpa sebarang keuzuran syar’i.

II.        wajib dari sudut ketentuan kadarnya terbahagi kepada dua iaitu kadar yang tidak ditetapkan (ghairu muhaddad) seperti bersedekah dan kadar yang ditetapkan (muhaddah) seperti kadar zakat, kadar solat dan sebagainya.


III.        Wajib dari sudut ketentuan mukallaf iaitu wajib‘aini (fardhu ‘ain) perbuatan yang diwajibkan oleh Allah ke atas setiap mukallaf seperti solat, puasa dan sebagainya. Seterusnya wajib kafaiy (fardhu kifayah) iaitu perbuatan yang dituntut oleh Allah untuk melakukannya dari kalangan masyarakat umum di mana akan gugur dosa selurah tempat masyarakat setempat sekiranya sebahagian yang lain telah melaksanakannya seperti amar ma’ruf nahi mungkar.

IV.        wajib dari sudut ketentuan perkara sama ada muayyan (ditentukan) atau mukhaiyyar (pilihan). Kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa ada pilihan seperti semua perkara di dalam rukun Islam  yang lima. Wajib mukayyar pula sesuatu kewajipan yang diberi pilihan padanya untuk melaksanakan salah satu daripadanya seperti melaksanakan kewajipan membayar kiffarah sumpah yang terdapat pilihansama ada memberi pilihan orang miskin atau memberi pakaian atau membebaskan hamba.[23]




Ke-dua :Nadbu (sunat)
Perbuatan sunat ialah apa-apa yang dituntut oleh Allah S.W.T untuk melakukannya secara tidak pasti di mana akan dipuji si pelakunya dan diberi pahala tetapi tidak akan dicela dan tidak disiksa jika ia meninggalkannya. Akan tetapi kadang-kadang terdapat beberapa perkara sunat yang tidak digalakkan untuk ditinggalkan. Untuk mengenali sesuatu perbuatan itu memberikan hukum sunat, al-Quran telah menunjukkan kepada beberapa cara dan kaedah antaranya :
I.      Adanya lafaz perintah (al-amru) yang diikuti dengan petunjuk bagi menunjukkan ia tidak wajib sama ada petunjuk tersebut dari nas syara’ atau selainnya. Contoh dalam firman Allah S.W.T

فكاتبوا هم إن علمتم فيهم خيرا[24]
Maksudnya : “Hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka”

Ayat ini menunjukkan tidak wajib membuat perjanjian berdasarkan petunjuk daripada kaedah syara’ yang berbunyi “sesungguhnya pemilik sesuatu itu bebas  dalam menguruskan apa-apa yang dimilikinya”.

II.        Menggunakan selain daripada lafaz al-amru akan tetapi dapat difahami maksudnya adalah sunat seperti hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

من توضأ الجمعة فيها و نعمت و من اغتسل فالغسل أفضل[25]
Maksudnya : “sesiapa yang berwudhu’ pada hari jumaat, maka ia akan mendapatkan kebaikan da nikmat, dan barangsiapa yang mandi (sunat Jumaat), maka ia adalah lebih baik”.
Bahagian-bahagian sunat

Bahagian sunat terbahagi kepada tiga :
I.        Sunat muaqqad : iaitu perbuatan yang kerap dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan jarang ditinggalkannya. Perbuatan ini adalah sebagai pelengkap dan menyempurnakan kewajipan agama seperti azan, iqamah, sembahyang berjemaah dan sebagainya. Hukum perbuatan ini akan diberi pahala bagi sesiapa yang melakukannya tetapi tidak disiksa kalau meninggalkannya. Walaubagaimanapun perbuatan ini digalakkan untuk kita melakukannya.
II.        Sunat ghairu muaqqad : iaitu perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W tidak secara kerap seperti solat empat rakaat sebelum zuhur.
III.        Sunat zawaiad : iaitu mengikuti perkara-perkara yang dilakukan oleh Raasulullah S.A.W sebagai seorang manusia biasa seperti adab-adab makan dan minum.

Ke-tiga :tahrim (haram)
Haram ialah perbuatan yang dituntut oleh syara’ meninggalkannya secara pasti di mana ganjarannya akan diberi pahala bagi sesiapa yang taat dan berdosa bagi sesiapa yang melakukannya. Banyak cara dan kaedah yang ditunjukkan oleh syara’ bagi menjelaskan perbuatan haram antaranya[26] :
  I.        Menggunakan lafaz yang menunjukkan ianya haram seperti firman Allah S.W.T :

حرمت عليكم أمهتكم[27]
Maksudnya : “Diharamkan ke atas kamu emak-emak kamu”



II.        Menggunakan lafaz menafikan halal seperti firman Allah S.W.T :

لا يحل لكم أن ترتوا النساء كرها[28]
Maksudnya : “Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksa.”
III.      Menggunakan lafaz tegahan yang menunjukkan larangan secara pasti seperti :

يأيها الذين ءامنوا لا تقربوا الصلوة وأنتم سكرى حتى تعلموا ما تقولون[29]

Maksudnya : “Janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”

Bahagian-bahagian haram
Di dalam Islam, sesuatu perkara itu tidak diharamkan selagi ia tidak mendatangkan keburukan dan kemudaratan. Kemudaratan ini sama ada merujuk kepada perbuatan itu sendiri atau melalui perantaraan yang lain. Oleh itu pembahagian haram terbahagi kepada dua iaitu :
  I.    Haram lizatihi (haram kerana zatnya) : Apa-apa yang diharamkan oleh syara’ pada asalnya kerana ia mengandungi keburukan dan kemudaratan seperti zina, makan bangkai, mencuri dan sebagainya. Perbuatan seperti ini tidak disyariatkan dan berdosa jika melakukannya serta tidak boleh dijadikan sebagai sebab syar’I yang memberi kesan hukum. [30]
    II.        Haram lighairihi (haram kerana yang lain) : sesuatu yang pada asalnya disyariatkan kerana tiada memberi kemudaratan atau lebih memberi manfaat. Akan tetapi ianya diiringi dengan sesuatu yang diharamkan seperti solat di atas tanah yang dirampas, jualbeli ketika azan Jumaat, berpuasa pada hari raya dan sebagainya. Bukanlah pengharaman itu ke atas solat, jualbeli dan puasa kerana perbuatan-perbuatan ini adalah disyariatkan tetapi dihubungkan dengan sesuatu yang menjadikannya rosak dan mudarat seperti  atas tanah yang dirampas, ketika azan Jumaat dan pada hari raya. Sebahagian fuqaha’ menyatakan hukum perbuatannya adalah sah tetapi si pelaku tetap berdosa. Manakala sebahagian yang lain menyatakan batal perbuatannya disamping mendapat dosa atas pelakuannya itu.[31]

Ke-empat :Kaharah (makruh)
Perbuatan ini ialah sesuatu yang dituntut oleh syara’ untuk meninggalkannya secara tidak pasti. Secara umumnya, untuk mengenali perbuatan yang memberikan hukum ini adalah dengan menggunakan :
        I.      Lafaz makruh seperti sabda Rasulullah S.A.W :

إن ألله يكره لكم قيل و قال وكثرة السؤال و إضاعة المال
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah memakruhkan bagi kamu berkata itu dan ini, banyak soal dan membazirkan harta.”




      II.        Lafaz larangan diikuti dengan petunjuk yang menjelaskan ianya bukan haram seperti dalam firman dan diiringin dengan petunjuk yang menunjukkan ia makhruh :
يأيها الذين ءامنوا لا تسلوا عن أشياء إن تبد لكم تسؤكم[32]
Maksudnya :“hai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada       Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkanmu”..
Ayat ini memberikan hukum makhruh kerana larangan yang yerdapat padanya bukanlah secara pasti kerana ada petunjuk yang menunjukkan hal sedemikian iaitu :[33]
وإن تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبد لكم عفا الله عنها والله غفور حليم[34]
Maksudnya :“ dan jika menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu.Allah Maha Pengampun lagi maha penyantun.”

Ke-lima :Ibahah (harus)
Harus ialah sesuatu yang diberikan oleh syara’ ke atas mukallaf antara melakukannya atau meninggalkannya. Bagi perbuatan ini tidak akan mendapat apa-apa balasan sekiranya ia ditinggalkan atau dilakukan. Dalam erti kata lain ia juga dinamakan sebagai halal. Berbagai-bagai cara untuk mengenali harus antaranya :[35]



I.    Menggunakan lafaz “halal” seperti dalam firman Allah :

وأحل الله البيع[36]
Maksudnya :“Allah menghalalkan berjual beli

II.        Menyatakan sesuatu itu tidak berdosa seperti firman Allah :

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه[37]
Maksudnya :“maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa”.


Pembahagian hukum wad’iy menurut kebanyakan ulama’
Hukum wad’iy ialah al-Quran yang berkaitan dengan dijadikan sesuatu sebagai sebab bagi sesuatu yang lainatau sebagai syarat atau penghalang baginya. Berdasarkan pengertian ini, pembahagian hukum wad’iy adalah seperti berikut ;
  I.        Sababiah (سبية):kitab Allah S.W.T yang  berkaitan dengan dijadikan sesuatu sebagai sebab. Perbuatan yang berhubung dengannya dinamakan sebagai sebab.
II.        Syartiah     (شرطية):kitab Allah S.W.T yang berkaitan dengan dijadikan sesuatu sebagai syarat. Perbuatan yang berhubung dengannya dinamakan sebagai syarat.
III.        Mani’iyyah : (مانعية)kitab Allah S.W.T yang berkaitan dengan dijadikan sesuatu sebagai penghalang. Perbuatan yang berhubung dengannya dinamakan sebagai penghalang.

Pertama : Sebab
Dari sudut bahasa ianya bermakna sesuatu yang menghubungkannya kepada sesuatu maksud.Manakala dari sudut istilah ulama’ usul sebab ialah suatu sifat yang nyata dan tetap yang dijadiakan oleh syara’ sebagai tanda atau petunjuk ke atas kewujudan sesuatu hukum syara’.
Daripada pengertian istilah ini ianya menjelaskan bahawa kewujudan sebab ke atas setiap perkara merupakan tanda atau petunjuk ke atas wujudnya hukum syara’.Begitulah sebaliknya yang mana apabila tidak ada sebab ianya merupakan tanda kepada tiadanya hukum syara’.Contohnya seperti kelihatan anak bulan Ramadhan dijadikan sebagai sebab kewajipan melaksanakan puasa di bulan Ramadhan seperti mana Rasulullah S.A.W bersabda daripada Abd. Rahaman ibnu Zaid al-Khattab r.a yang berbunyi :[38]
صوموا لرؤيته و أفطروا لرؤيته
Maksudnya : “berpuasalah kamu kerana kamu melihatnya (anak bulan) dan berbukalah kerana melihatnya (anak bulan).”

 Dan juga di dalam firman Allah :
فمن شهد منكم الشهر فليصمهۖ[39]
Maksudnya : “oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu.”

Antara contoh lain yang dijadikan oleh syara’ sebagai sebab ialah gelincir matahari bagi memulakan kewajipan solat Zohor, seperti dalam firman Allah S.W.T :
أقم الصلوة لدلوك الشمس إلى غسق اليل[40]
Maksudnya : “dirikanlah oleh mu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam.”

Ke-dua : Syarat
Dari segi bahasa bermaksud satu tanda yang lazim. Manakala dari segi istilah ulama’ usul ialah kewujudan sesuatu perkara bergantung atas kewujudannya tetapi ia (syarat) bukan sebahagian daripada perkara tersebut. Namun, tidak semestinya kewujudan syarat akan mewujudkan perkara itu tetapi yang pasti apabila ketiadaan syarat, maka perkara tersebut tidak akan wujud.
Ini menjelaskan bahawa keadaan hukum sesuatu perbuatan itu sama ada sah atau batal adalah dipengaruhi oleh kewujudan syarat. Sebagai contohnya, sahnya sesuatu solat itu adalah kerana syarat-syaratnya yang ada padanya dipenuhi.Sekranya syarat-syarat ini tidak ada mak solat seseorang itu tidak sah. Contohnya kewajipan berwudhu’

seperti dalam firman Allah S.W.T :
يأيها الذين ءامنوا إذا قمتم إلى الصلوة فاغسلوا وجوهكم وأيديكم إلى المرافق وامسحوا برءوسكم وأرجلكم إلى الكعبينۚ[41]
Maksudnya: “wahai orang-orang yang beriman,apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Akan tetapi dengan berwudhu’, tidak melazimkan seseorang itu untuk solat malah mungkin juga untuk membaca al-Quran dan sebagainya.

Ke-tiga : Penghalang
Penghalang dari segi bahasa ialah penghalang antara dua perkara. Dari segi istilah ulama’ usul ialah sesuatu perkara yang diletakan oleh syara’ dengan kewujudannya akan menjadikan sesuatu hukum itu tidak ada atau tidak mewujudkan sebab atau membatalkannya.
Contohnya seseorang yang dalam keadaan berhadas dilarang mengerjakan ibadat sehinggalah ia suci. Penghalang bagi ia mengerjakan ibadat ialah berhadas berdasarkan firman Allah S.W.T :
وإن كنتم جنبا فاطهرواۚ[42]
Maksudnya: “dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”



Pembahagian hukum syara’ yang terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’
Para ulama’ telah berselisih pendapat mengenai beberapa pembahagian hukum yang lain sama ada ia termasuk dalam bahagian hukum taklifi atau hukum wad’iy. Hukum-hukum tersebut ialah hukum ‘azimah dan rukhsah serta hukum sah dan batal.

Pertama : hukum ‘azimah dan rukhsah
Ada diantara ulama’ yang mengatakan bahawa ‘azimah dan rukhsah termasuk dalam bahagian hukum taklifi.Alasannya adalah berdasarkan kepada istilah “‘azimah” merujuk kepada perkara yang di tentukan oleh syara’ atau diharuskan olehnya secara umum, manakala istilah “rukhsah” adalah sesuatu yang diharuskan oleh syara’ kerana keadaan yang benar-benar mendesak atau keperluan.Oleh itu, sesuatu yang berupa tuntutan atau di haruskan adalah dari hukum taklifi bukannya wad’iy.
Manakala ulama’ yang lain pula berpendapat bahawa kedua-duanya adalah termasuk dalam hukum  wad’iy kerana ‘azimah merujuk kepada ketetapan syara’ menjadikan keadaan biasa bagi manusia sebagai sebab diteruskan hukum-hukum asal yang umum, manakal rukhsah merujuk kepada ketetapan syara’ menjadikan sesuatu keadaan yang mendatang sebagai sebab keringanan sesuatu hukum ke atas hambanya. Oleh itu, sesuatu yang di jadikan sebab merupakan bahagian daripada hukum wad’iy.
Pendapat yang dipilih seperti yang terdapat dalam buku “al-wajiz fi usul al-fiqh”  adalah pendapat pertama iaitu ‘azimah dan rukhsah daripada bahagian hukum taklifi.[43]

Pengertian ‘azimah
‘Azimah ialah hukum-hukum yang disyariatkan oleh Allah S.W.T sejak dari permulaan untuk dijadikan hukum-hukum umum bagi setiap mukallaf dalam semua keadaan. Contohnya pengharaman berbuka puasa pada siang hari Ramadhan dan kewajipan berpuasa ke atas sesiapa yang melihat anak bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah S.W.T :
فمن شهد منكم الشهر فليصمهۖ
Maksudnya : “oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu.”
Oleh itu kewajipan berpuasa dan pengharaman berbuka puasa merupakan hukum asal (‘aziamah)di mana syara’ menetapkannya sejak dari awal. Ini kerana pensyariatan berkaitan dengannya tidak didahului dengan perintah yang lain. Demikian juga syara’ tidak mengaitkan dalam nas ini dengan sebarang bentuk keuzuran. Maka jelaslah bahawa di dalam hukum ini ia merupakan satu ketetapan awal yang tidak dikaitkan dengan apa-apa keuzuran serta dalam bentuk yang umum dan menyeluruh.

Konsep rukhsah
Rukhsah ialah sesuatu yang disyariatkan oleh Allah S.W.T daripada hukum-hukum sebagai satu kelonggaran dan keringanan ke atas mukallaf dalam sesetengah keadaan disamping mengekalkan hukum asal.
Di antara contohnya ialah diharuskan tidak berpuasa bagi orang yang bermusafir.Maka ia merupakan hukum syara’ sesuai dengan hukum keuzuran yang ada padanya iaitu perjalanan   (سفر) sebagai keringanan dari hukum asal yang menyeluruh iaitu wajib berpuasa.
Ini adalah berdasarkan dalam firman Allah S.W.T :
ومن كان مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخرۗ[44]
Maksudnya : “dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

Bahagian-bahagian rukhsah
Ulama’ Safi’iyyah dan Hambali telah membahagikan rukhsah kepada empat bahagian iaitu :
  i.      Wajib : seperti makan bangkai kerana terpaksa. Maka hukumnya adalah wajib demi menjaga nyawa.

ii.      Sunat : seperti mengqasarkan solat bagi musafir.


iii.      Harus : seperti jual beli, sewa dan lain-lain dalam akad nikah.

iv.      Khilaf al-awla : seperti berbuka puasa bagi musafir yang tidak memudaratkannya jika ia meneruskan puasanya berdasarkan firman Allah S.W.T :

وأن تصوموا خير لكمۖ[45]
Maksudnya : “dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”
Manakala ulama’-ulama’Hanafiah pula membahagikan rukhsah kepada empat jenis iaitu :
      i.        Mengharuskan perbuatan yang diharamkan ketika darurat seperti melafazkan kufur ketika dipaksa dengan ugutan membunuh atau memotong sebahagian anggota badan sedangkan hatinya tetap beriman.

    ii.        Harus meninggalkan wajib apabila terdapat kesukaran seperti berbuka puasa di bulan Ramadhan bagi musafir dan orang sakit.


   iii.        Harus melakukan akad-akad dan pengurusan yang diperlakukan manusia walaupun bertentangan dengan kaedah seperti akad jual salam bertentangan dengan kaedah kerana menjual  sesuatu yang tidak wujud semasa majlis akad.

   iv.        Menghapuskan kesukaran yang disyariatkan pada syariat yang terdahulu dan meringankannya pada umat Islam seperti masyarakat bunuh diri untuk bertaubat daripada melakukan dosa dan sebagainya. Rukhsah jenis ini hanyalah majaz sahaja kerana pada asalnya ia tidak disyariat serta tiada sesuatu itu dinamakan ‘azimah sehingga ada rukhsah disebaliknya.[46]




Sebab-sebab berlaku rukhsah
            i.        Musafir yang diharuskan
          ii.        Sakit
         iii.        Terpaksa
         iv.        Lupa
          v.        Kejahilan
         vi.        Kesukaran serta umum al-bahwa
        vii.        Kekurangan



Ke-dua : Hukum  sah dan batal
Ulama’ usul berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan hukum sah dan batal sama ada dalam bahagian hukum taklifi atau hukum wad’iy. Sebahagian ulama’ berpendapat kedua-duanya daripada bahagian hukum taklifi.Mereka memberikan alasan bahawa hukum sah merujuk kepada syara’ mengharuskan mengambil manfaat terhadap sesuatu perkara itu sedangkan hukum batal pula merujuk kepada syara’ mengharamkan mengambil manfaat terhadap sesuatu perkara tersebut.
            Dalam menyatakan hukum terhadap jual beli yang sah ianya bermakna syara’ mengharuskan pembeli mengambil manfaat ke atas barangan tersebut.Manakala jual beli yang batal pula bermakna syara’ mengharamkan mengambil manfaat ke atas barangan yang dijual beli itu.
            Pendapat sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa hukum sah dan batal merupakan bahagian hukum wad’iy. Hujah mereka berdasarkan kepada perkaitan hukum sah sesuatu perbuatan itu menurut syara’ apabila perbuatan tersebut dilaksanakan bertepatan dengan rukun-rukun dan syarat-syaratnya.Sebaliknya hukum batal ialah apabila sesuatu perbuatan itu tidak menepati rukun-rukun dan syarat-syarat bagi perbuatan tersebut.

            Namun yang demikian, menurut Dr. Abd. Karim Zaidan di dalam bukunya yang bertajuk “al-Wajiz fi usul al-Fiqh”  telah memilih pendapat yang kedua ini berpendapat bahawa di dalam hukum sah dan batal tidak ada yang berkaitan dengan suruhan, larangan dan pilihan. Sebaliknya di dalam kedua-dua hukum ini, syara’ hanya menyatakan sifat bagi sesuatu perbuatan sama ada bertepatan dengan rukun dan syarat ataupun tidak. Oleh itu, ketetapan syara’ tentang sifat bagi sesuatu perbuatan merupakan sebab ada atau tiadanya hukum syara’ dan jelas bahawa sebab adalah bahagian hukum wad’iy.[47]

Konsep sah dan batal
Sesungguhnya amaln-amalan yang disyariatkan oleh Islam terbahagi kepada dua bahagian :
      i.        Ibadat : iaitu segala amalan yang bertujuan mendampingkan diri kepada Allah S.W.T dan memperkukuhkan hubungan di antara manusia dengan pencipta.

    ii.        Muamalat : iaitu segala bentuk akad-akad dan pengurusan yang berlaku sesama manusia seperti berjual beli, sewa, gadai, berkahwin, bercerai, jenayah dan sebagainya.
Ke semua amalan-amalan ini mempunyai kaitan dengan hukum taklifi dan hukum wad’iy. Di dalam hukum taklifiia membentuk apakah jenis perbuatan tersebut sama ada ia disuruh melakukan, ditinggalkan, atau pilihan antara keduanya.  Manakala di dalam hukum wad’iy pula ia menentukan bagaimanakah bentuk pelaksanaan amalan tersebut iaitu dengan menerangkan rukun-rukun, syarat-syarat serta halangan-halangan yang boleh menghalang terbentuknya sesuatu hukum ke atas amalan dan perbuatan tersebut.[48]

Pengertian hukum sah dan batal menurut jumhul ulama’
Syara’ menghukumkan perbuatan-perbuatan mukallaf apabila bertepatan dengan rukun dan syarat sebagai sah.Sebaliknya jika tidak bertepatan dengan rukun dan syarat dihukumkan sebagai tidak sah, batal atau fasad.
            Oleh itu sesuatu perbuatan sama ada berbentuk ibadat mahupun muamalat apabila dihukumkan sah, maka akan memberikan kesan-kesan syara’.Sekiranya ia daripada perbuatan yang berbentuk ibadat maka selesailah tanggungjawab mukallaf daripada tuntutan tersebut seperti solat yang dilaksanakan dengan cukup rukun dan syaratnya. Sekiranya perbuatan-perbuatan mukallaf yang sah itu terdiri daripada bentuk-bentuk muamalat seperti akad jual beli, sewa, nikah dan sebagainya, maka akan menghasilkan kesan-kesan syara’ daripada akad tersebut seperti akad jual beli menghasilkan hak pemilikan barangan ke atas pembeli, hak menyewa bagi penyewa dan hak suami, isteri dan institusi kekeluargaan bagi akad pernikahan.
            Begitulah sebaliknya, jika sesuatu perbuatan yang tidak menepati rukun dan syarat (ibadat dan muamalat), maka ia tidak akan melahirkan sebarang kesan syara’.Jika perbuatan itu terdiri daripada bentuk ibadat, maka ia tidak membebaskan seseorang mukallaf daripada tanggungjawabnya seperti solat tanpa wudhu’ atau tanpa rukuk.Demikian juga jika ia dalam bentuk akad-akad dan pengurusan, maka tidak memberi apa-apa kesan syara’ seperti menjual bangkai.[49]

Pengertian hukum sah dan batal menurut ulama’ Hanafiah
Ulama’ Hanafiah sependapat dengan jumhur ulama’ dalam menetapkan hukum sah dan batal atau fasad terhadap perbuatan-perbuatan yang berbentuk ibadat.Begitu juga pada bahagian perbuatan muamalat yang menepati rukun dan syarat juga dinamakan sebagai sah.

Namun dalam bab berkaitan dengan muamalat yang tidak  menepati rukun dan syarat terhadap perinciannya  seperti berikut :
      i.        Akad-akad dan pengurusan yang tidak menepati rukun dinamakan sebagai batal iaitu tidak akan melahirkan sebarang kesan syara’ seperti jual beli orang gila.

    ii.        Akad-akad pengurusan yang menepati rukun-rukunnya tetapi tidak mencukupi sebahagian daripanya syarat-syaratnya dinamakan fasad iaitu hanya menghasilkan sebahagian sahaja daripada kesan-kesan syara’ apabila akad telah terlaksana. Contohnya seperti akad jual beli dengan tidak mengetahui harga barangan yang mana ia hanya menetapkan hak pemilikan barangan bagi pembeli sekiranya diizinkan oleh penjual.

Kesimpulannya, hukum batal menurut ulama’ Hanafiah sesuatu perbuatan yang mempunyai kerosakan pada rukun akad iaitu sighah atau orang yang berakad atau tempat terlaksana akad.Sedangkan fasad ialah sesuatu perbuatan yang mempunyai kerosakan pada sifat-sifat akad bukan pada rukunnya.[50]
















KESIMPULAN
Mahkum fih merupakan perkara yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf, iaitu yang berkaitan dengan hukum syara’ seperti dalam hukum taklifi iaitu perbuatan yang berkaitan dengan tahrim, maka perbuatan itu dinamakan perbuatan haram atau bentuk-bentuk dalam hukum wad’iy.
             Apabila sesuatu hukum berbentuk keharaman atau kemakruhan pada mukallaf dalam melaksanakan dua hal itu juga dalam bentuk perbuatan, kerana ia menahan diri untuk tidak melakukan apa yang diharamkan dan apa yang dimakruhkan. Seperti pendapat ulama’ laa takliifa illaa bi fi’lin (tidak ada tuntutan kecuali dengan perbuatan, maka menahan diri itu termasuk dalam perbuatan iaitu menahan diri untuk tidak melakukan.
            Mahkum fih juga turut dinamakan mahkum bih kerana perbuatan mukallaf yang disifatkan dengan suruhan dan larangan. Dalam erti kata lain ia adalah objek perbuatan serta tindakan-tindakan yang terkait dengan aturan-aturan hukum, seperti yang termaktub dalam al-Quran.
            Dalam hal ini ulama’ usul fiqh menetapkan kaedah “tiada taklif atau pembebanan hukum, melainkan tarhadap perbuatan.
            Dari sini dapat disimpulkan bahawa semua bentuk perintah atau larangan adalah berhubung dengan perbuatan mukallaf.






RUJUKAN
      i.        Al-Quran tajwid dan terjemahan

    ii.        Perbahasan usul fiqh. Pn. Sahariah Hj Ismail. Melaka. 2012

   iii.        Ilmu Usul Fiqh. Prof Dr. Abdul Abdul Wahab Khallaf. Darul Qalam. 1977

   iv.        Al-fiqh al-Islami Wa Usulihi. Wahbah Az Zuhaili. Darul Fikri. 2005

    v.        Ilmu Usul Fiqh. Prof Dr. Rahmat Syafe’i. Pustaka Setia. 2007




[1] Ilmu usul fiqh m/s 317
[2] Perbahasan usul fiqh m/s 36
[4] Surah al-Baqarah ayat 34
[5]Ilmu usul fiqh m/s 179
[6] Al-fiqh al-islami wa usulihi m/s137
[7] Surah al-Baqarah ayat 286
[12] Perbahasan usul fiqh m/s 37-38
[13] Perbahasan usul fiqh m/s 37-38
[14] Surah al-Baqarah ayat 178
[15] Perbahasan usul fiqh m/s 14-15
[16] Surah al-Ikhlas ayat 1-4
[17] Surah an-Nur ayat 56
[18] Perbahasan usul-fiqh m/s 15
[19] Surah al-Baqarah ayat 185
[20] Perbahasan usul-fiqh m/s 15-16
[21] Perbahasan usul fiqh m/s 15-16
[22] Perbahasan usul-fiqh m/s 17-18
[23] Perbahasan usul fiqh m/s 18-19
[24] Surah al-Nur ayat 33
[25] Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e
[26] Perbahasan hukum m/s 20-21
[27] Surah al-Nisa’ ayat 23
[28] Surah al-Nisa’ ayat 19                     
[29] Surah al-Nisa’ ayat 43
[30] Perbahasan usul fiqh m/s 20-21
[31] Perbahasan usul fiqh m/s 21-22
[32] Surah al-Maidah ayat 101
[33] Perbahasan usul fiqh m/s 22-23
[34] Surah al-Maidah ayat 101
[35] Perbahasan usul fiqh m/s 23
[36] Surah al-Baqarah ayat 275
[37] Surah al-Baqarah ayat 173
[38] Perbahasan usul fiqh m/s 24
[39] Surah al-Baqarah ayat 185
[40] Surah al-Isra’ ayat 78
[41] Surah al-Maidah ayat 6
[42] Surah al-Maidah ayat 6
[43] Perbahasan usul fiqh m/s 27
[44] Surah al-Baqarah ayat 184
[45] Surah al-Baqarah ayat 184
[46] Perbahasan hukum m/s 28-29
[47] Perbahasan usul fiqh m/s 30
[48] Perbahasan usul fiqh m/s 31
[49] Perbahasan usul fiqh m/s 31-32
[50] Perbahasan hukum m/s 32

No comments:

Post a Comment